Posts tagged 000 replika kereta bersaiz kecil

Kumpul kira-kira 2,000 replika kereta bersaiz kecil

Hobi unik Rohaizat

APABILA ada kanak-kanak berkunjung ke rumahnya, riak wajahnya akan berubah daripada tenang kepada risau.

Apa tidaknya, kebanyakan kanak-kanak yang datang akan menangis dan lebih membuatkannya tidak sedap hati apabila ada ibu bapa terpaksa singgah di pusat beli-belah selepas berkunjung ke rumahnya.

Itu antara pengalaman dilalui Rohaizat Ramli, 37, gara-gara memiliki hobi unik, mengumpul kira-kira 2,000 replika kereta bersaiz kecil.

Sebahagiannya dipamerkan di dalam almari dan sebahagian pula masih dalam bungkusan, disimpan dengan cermat di dalam plastik.

“Jika tiba musim perayaan, terutama Aidilfitri atau keluarga mengadakan kenduri, memang saya tak senang duduk. Walaupun diletakkan di almari berkunci, kanak-kanak yang datang tetap mahu bermain dengan koleksi replika kereta saya.

“Mana mungkin saya dapat memenuhi permintaan mereka kerana semua koleksi itu saya sayang. Jika saya beri, memang ‘musnah’ dan semakin ‘susut’ koleksi saya,” kata Rohaizat ketika ditemui di kediamannya di Kampung Tok Muda, Kapar, Klang, Baru-baru ini.

Menurut Rohaizat, sudah namanya kanak-kanak, apabila tidak diberi, mereka tetap mahukannya dan ibu bapa yang menjadi mangsa.

“Puas ibu bapa memujuk. Ada yang menangis berguling-guling dan ada pula yang sanggup menunggu dengan harapan dapat bermain dengan replika kereta itu.

“Jika tidak dapat dipujuk, kesudahannya terpaksalah ibu bapa singgah di pusat beli-belah untuk membeli replika kereta itu. Saya rasa bersalah pula sebab menyusahkan mereka, tapi nak buat macam mana,” katanya.

Rohaizat berkata, dia mula mengumpul koleksi replika kereta itu sejak zaman kanak-kanak dan meneruskannya sehingga hari ini.

Katanya, sepatutnya jumlah koleksi yang ada dalam simpanannya melebihi 2,000 tetapi banyak yang hilang ketika pindah rumah dulu.

“Hobi saya ini bukan mahal kerana saya memilih mengumpul replika bersaiz kecil yang berskala antara 1:43 hingga 1:60 (60 kali lebih kecil daripada saiz asal). Setiap satu replika itu harganya tidak lebih RM20 dan berbeza dengan hobi mengumpul replika kereta bersaiz besar kerana ia memang mahal.

“Sehingga hari ini boleh dikatakan saya memiliki semua jenama replika kereta itu, antaranya Saiko, Tomy, Real Toy, Hot Wheel, Match Box, Maistro, Majorette dan Burago. Daripada jenis kereta pula, saya mempunyai koleksi kereta seperti Ferrari, Nissan Skyline, kereta ‘Batman’, Honda dan kereta digunakan untuk kejohanan ‘Drift’,” katanya.

Menurutnya, dia memilih mengumpul replika kereta bersaiz kecil kerana ia tahan lama dan tidak mudah rosak.

“Replik itu diperbuat daripada plastik dan ada juga diperbuat daripada besi yang ditempa khas.

“Ia juga mudah diperoleh kerana dijual di pusat beli-belah dan jika mahu mendapatkan lebih banyak koleksi, saya membeli di jualan gudang yang khusus menjual replika kereta itu,” katanya yang meluangkan masa seminggu sekali untuk menambah koleksi replika keretanya.

Menurut Rohaizat, apa yang dilakukannya bukan semata-mata hobi kerana menerusi hobi itu dia dapat mendidik anaknya supaya sayangkan harta sendiri.

“Meskipun pada dasarnya apa yang saya kumpul itu barang permainan, saya didik anak saya supaya tidak menganggapnya semata-mata permainan. Saya didik mereka supaya menjaga koleksi itu dengan baik.

“Alhamdulillah, hasil memiliki ribuan koleksi replika kereta itu, tiga anak saya menjadi individu yang sangat menyayangi barangan mereka. Mereka menjaga dengan baik barangan mereka dan apa saja barangan berharga di rumah,” katanya.

Rohaizat berkata, dia bersyukur kerana isterinya tidak menghalang minatnya, malah turut sama membantu menambah koleksi dimiliki.

“Jika isteri secara tidak sengaja terjumpa kedai menjual replika kereta itu, dia menghubungi saya dan bertanya jenis kereta apa yang saya mahu.

“Kadangkala pula dia terus membeli dan menunjukkan kepada saya apabila tiba di rumah,” katanya.

Menurut Rohaizat, setiap replika yang dibelinya dicatat di dalam senarai khas yang disimpan di dalam komputer supaya tidak berlaku pertindihan jenis dan jenama replika kereta yang sudah dibeli.

“Saya tidak dapat memberi senarai itu kerana jika dicetak, jumlahnya terlalu banyak. Cukup sekadar memberitahu hobi seperti itu juga ada sistemnya,” katanya.

Menurutnya, ada tetamu yang berkunjung ke rumahnya mahu membeli koleksinya, tetapi dia enggan berbuat demikian.

Leave a comment »

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.